Wednesday, August 20, 2008

Nurin Jazlin Dalam Kenangan


Semalam genap setahun tarikh Allahyarham Adik Nurin Jazlin hilang sebelum berakhir dengan tragedi yang menggemparkan Malaysia. Pada 17 September 2007, jasad yang menyayat hati ditemui dalam keadaan tidak dikenali oleh ibubapa sendiri, akhirnya disahkan sebagai Nurin Jazlin. Dalam keadaan pilu keluarga Allahyarham Nurin mengenang kehilangannya yang tragis, timbul pula gambar autopsi Nurin ke khalayak ramai. Sesuatu bahan penyiasatan yang sangat peribadi, sepatutnya dikawal rapi oleh pihak berkuasa, telah bertebaran ke dunia internet.

Setelah genap setahun, penculik dan pembunuh Nurin masih lagi belum lagi diberkas oleh pihak polis. Begitu juga nasib adik Sharlinie, masih tidak ketahuan keadaannya. Dan, entah berapa ramai lagi mangsa yang tidak kita ketahui..

Baru-baru ini berlaku lagi percubaan untuk menculik seorang gadis berusia 13 tahun ketika menunggu bas di Sungai Kapar Indah, Klang. Beliau yang ditangkap oleh sekumpulan 5 lelaki ke dalam van, akhir terselamat apabila dengan nekad melompat keluar daripada van yang bergerak. Apa yang lebih memeranjatkan, menurut gadis tersebut, terdapat beberapa gambar kanak-kanak lain termasuk gambar adik Sharlinie di dalam van tersebut. Seperti biasa, pihak polis akan bertindak 'tangkas' dalam hal ini.

http://www.lovenotepress.com/2008/07/30/penculik-sharlinie-berkeliaran/

Hari ini, ibubapa Allahyarham Nurin Jazlin, akan memfailkan saman kepada pihak Polis atas beberapa sebab, antara yang utamanya terhadap gambar autopsi Nurin yang dibocorkan. Saya menyokong tindakan ini, supaya pihak yang berwajib ini (terutama Polis DiRaja Malaysia) menjalankan tanggungjawab mereka dengan sepatutnya.

http://www.nurinjazlin.blogspot.com/

Kepada semuanya, marilah kita sedekahkan 'al-Fatihah' kepada Allahyarham adik Nurin.

Monday, August 18, 2008

Islam untuk semua...

Termenung sejenak saya mendengar ucapan Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Encik Hu Pang Chaw, di Muktamar PAS kali ke-54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak yang lalu. Segala puji bagi Allah, Dialah Tuhan yang menyentuh hati-hati dan membuka mata manusia terhadap pintu kebenaran.

Sesungguhnya, kebenaran Islam umpama air sungai yang mengalir. Walau tangan-tangan kotor itu cuba menyekat, lambat laun ia pasti mengalir menerusi jalan yang lain, seperti yang telah ditentukan oleh Tuhannya. Hakikat bahawa kelab Penyokong PAS sudah mencecah 10,000 keahlian, begitu mengubat jiwa yang hampir berputus asa ini. Terasa hilang penat lelah. Sinar harapan bahawa Islam akan ternobat di mukabumi Malaysia kembali cerah.

Sungguh besar pahala orang-orang yang ikhlas, yang telah bertungkus lumus memperkenalkan Islam yang sebenar kepada golongan bukan Islam. Sungguh mulia usaha Tok Guru Nik Abdul Aziz, meneraju lanskap pemerintahan Islam Kelantan yang adil untuk semua bangsa. Idea kelab Penyokong PAS mulanya dianggap ramai hanya sebagai retorik politik, akhirnya diangkat Allah martabatnya dan mendapat tempat didada golongan bukan Islam.

Jelas sekali, Islam apabila dilaksanakan dengan sepenuhnya, bakal menjanjikan keadilan dan keamanan. Siapalah UMNO hendak menafikan hakikat yang telah termaktub dalam al-Quran ini. Kini, Allah menyingkap sedikit hijab kebenaran - Kelab Penyokong PAS sebagai bukti hidup yang sedang berlaku di Malaysia. Kalau En Hu Pang Chaw boleh memahami dan menerima pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia, masakan Islam Hadhari boleh menolaknya? Apalagi kalau dengan angkuh menghantar surat untuk menghalang Menteri Besar Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Dalam pada golongan bukan Islam ini boleh saja menganggotai parti-parti lain, seperti Keadilan atau DAP, atau juga lain-lain parti dalam Barisan Nasional. Kenapa memilih kelab Penyokong PAS? Bukan boleh menjanjikan harta atau pangkat, malah hanya berstatus kelab.. Ternyata mereka yakin kepada Islam. Walau belum menganutinya, tetapi mereka yakin sekiranya Islam diamalkan dengan sepenuhnya, keadilan dan keamanan semua kaum dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Para daie dan pejuang, marilah tingkatkan usaha untuk menerangkan Islam kepada semua. Jangan lagi berasa lemah, kerana Allah sentiasa bersamamu. Sebagaimana Rasulullah saw berdakwah menyuluhi segenap jiwa dan bangsa, bangkitlah kita membawa risalah kebenaran ini. Sesungguhnya, masyarakat bukan Islam di Malaysia, sedang membuka hati-hati mereka untuk kita sentuh..!!!

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16497&Itemid=50

Thursday, August 7, 2008

Melaka dan Nombor...

Kalau anda melawati Melaka, terutama sekitar jam 5 petang, cuba lalui kedai-kedai judi di sekitar Melaka. Pasti anda akan dapat melihat keramaian yang cemar.. terutama apabila melihat orang-orang Melayu yang sibuk memesan nombor-nombor judi idaman mereka.

Cuba lihat di deretan kedai judi di Pokok Mangga. Seakan pesta orang pelbagai bangsa berkerumun, malangnya orang Melayu, baik dah berusia mahupun muda, sama ramai dengan bangsa yang lain. Ajaran Islam manakah yang mereka anuti yang membenarkan judi sebagai salah satu kegemaran hidup.. atau mereka telah meninggalkan ajaran Islam?

Atau mungkin mereka teruja dengan kenyataan sesetengah pihak, yang mengatakan apabila kedai judi mendapat kelulusan lesen daripada Majlis Bandaran, maka statusnya halal..?? Atau mereka ingin mengikut jejak Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka yang juga juara membida nombor.. suaratanggabatu.blogspot.com/2008/08/gabenor-melaka-juara-bida-nombor-plat.html

Tapi, rakyat tak mampu nak beli nombor yang beribu-ribu ringgit, mungkin itulah sebabnya mereka membeli nombor murah di kedai-kedai judi.

Soalnya, dimana JAIM mahupun MAIM..? Di mana penguatkuasa JAIM, adakah mata anda telah dibutakan? Sedarlah wahai penguatkuasa JAIM, di tangan kamu terletak tanggungjawab 'nahi mungkar'. Kamu telah diberi hak untuk menghentikan dosa-dosa umat Islam Melaka di kedai-kedai judi.. tetapi kamu sengaja membiarkan. Tunggulah, Allah pasti bertanya dan menghitung setiap tanggungjawab yang diberikan.

Kenapa tidak diambil tindakan kepada pengusaha-pengusaha kedai judi yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka? Sebaliknya, JAIM bersikap tegas dan angkuh terhadap Tadika PASTI, pusat yang mendidik anak-anak mengenal Islam, hingga membawa mereka ke mahkamah. Dengan alasan yang dangkal, sampai sekarang kes PASTI asyik ditangguhkan mahkamah. Ada PASTI yang hampir ditutup kerananya... Kenapa tidak lakukan yang sama kepada pusat-pusat judi?

Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan mati. Allah pasti mengadili perbuatan setiap manusia. Perbuatan yang mulia, akan dibalas baik, tetapi perbuatan yang hina akan dibalas dengan siksa yang tak terperi sakitnya. Bertaubatlah segera, minta ampunlah kepada Allah dan manusia sekiranya kamu ada berlaku zalim... atau jika masih angkuh, tunggulah kamu. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik memberi pembalasan.

Tuesday, August 5, 2008

Menarilah wahai polis di Melaka

Gambar ini cukup mengecewakan saya.. Kenapalah polis wanita yang lengkap seragam menutup aurat boleh diarah menari-nari dihadapan pelancong-pelancong sebegitu rupa. Lagi pula gambar ini saya ambil daripada blog Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Inikah ajaran Negara Islam Hadhari? Di mana maruah polis-polis wanita Islam yang mengoyang-goyang tubuhnya khas untuk tanyangan khalayak ramai itu? Tersengih besar sang pelancong melihat wanita-wanita Islam yang bertudung litup ini, dengan penuh disiplin melenggok-lenggok badan mereka menari ala Hindustan. Hanya terdapat di Malaysia.. Malaysia Boleh..!!! Malangnya jadi Polis di Malaysia, anda boleh disuruh buat apa sahaja.. walaupun hingga ke tahap merendahkan martabat diri dan keperibadian Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka cukup berbangga dengan acara tersebut. Dalam blognya, penuh pujian kepada polis-polis tersebut. Sekali lagi malang kepada rakyat Melaka, mempunyai Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka yang berpemikiran sedemikian. Katanya, acara joget tersebut akan menyebabkan pelancong merasa lebih selamat....... http://www.mohdalirustam.com/

Apakah Melaka semakin selamat untuk dilawati? Sedarkah kita bahawa indeks kadar jenayah di Melaka adalah melebihi dari indeks kadar jenayah negara? Sudah lah begitu, polis pula disibukkan dengan aktiviti joget lambak. Cuba lihat link ini sebagai satu muhasabah... http://dapmalaysia.org/english/2007/july07/bul/bul3347.htm

Wahai penjenayah diluar sana, takutlah kamu kepada polis-polis wanita yang menari ala dangdut ini..........

Saturday, August 2, 2008

Salam Pengenalan dari Hamba Yang Hina

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw, manusia agung penunjuk jalan kehidupan yang benar dan hakiki. Salam perjuangan kepada sahabat yang berdiri kukuh dalam jalan menegakkan Islam di bumi ini.

Hari ini saya belajar membina lama blog daripada Seminar Bloggers PAS Melaka, dengan penuh semangat untuk menjadikan blog sebagai bahan berkongsi maklumat dan memperkasa agenda 'berpesan-pesan di atas kebenaran dan kesabaran'.

Semoga laman blog ini diberkati Allah, dan diterima sebagai sebahagian daripada mata rantai jihad untuk menobatkan Islam dimukabumi ini. Ya Allah, terimalah ia sebagai amalan yang soleh dan berilah kekuatan kepada hambaMu yang serba kekurangan ini, jadikan mata blog ini setajam mata pedang yang merintis dijalanMu, bukalah minda pembacanya supaya terkesan mereka untuk menuju jalan yang lurus kepadaMu.