Friday, October 24, 2008

Nilai Seorang Datuk di Melaka

Baru-baru ini kecoh Melaka ingin mengurniakan Datuk kepada pelakon Hindustan terkenal, Shah Rukh Khan.. Ketua Menteri Melaka, dalam menyokong penganugerahan tersebut, menyatakan bahawa Shah Rukh Khan banyak mempromosikan Melaka melalui aksi-aksi lakonannya yang dirakamkan di Melaka dan Malaysia. Inilah justifikasi paling bebal yang diberikan oleh seorang ahli politik, yang sedang berangan-angan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Anugerah Datuk sudah tidak mengira soal akhlak dan moral, siapa saja layak menjadi Datuk kalau boleh mendatangkan 'fulus'. Seolahnya tiada lagi manusia yang lebih layak dan lebih berjasa di bumi Melaka ini untuk diberikan Datuk. Patutnya, Melaka ditukarkan namanya daripada Melaka Bandar Bersejarah kepada Melaka Bandar Berhibur. Lihat betapa subur sumber-sumber hiburan di Melaka. Marilah bermalam di Melaka Raya - syurga kepada bangsa yang ingin berlibur hingga ke pagi. Asal 'cukai' dibayar mengikut harga dan masa, bebaslah ia tanpa gangguan pihak berkuasa - baik pihak Majlis Tempatan mahupun Majlis Agama Islam. Dulu pernah juga dicadangkan negeri Melaka yang sekangkang kera ini, mewujudkan kawasan ala 'Hollywood', khas untuk artis-artis berkediaman.

Bumi Melaka ini bukan tempat bagimu wahai Allahyarham Sarjan (B) Yusof Rono. Mandian darahmu sebagai Pahlawan Bukit Kepong tidak diiktiraf di negeri Melaka ini. Sejarah orang asing di Melaka lebih penting dipromosi untuk menarik pelancong, bukan sejarahmu melawan komunis itu. Cukuplah status datuk untukmu bagi cucu-cucu keturunanmu, kerana Melaka tidak melihat perjuanganmu penting selayak mana Shah Rukh Khan dalam memperjuang joget dan gelek dipentas hiburan.

Thursday, September 25, 2008

Keluhan Che Det.. bukti perlu kembali kepada Islam

Terbaca keluhan Che Det dalam websitenya....
http://test.chedet.com/che_det/2008/09/malay-unity-and-malaysian-unit.html#more
Beliau akhirnya kecewa melihat bangsa-bangsa di Malaysia semakin jauh terasing (kata beliau..) dan gagal menjadi bangsa Malaysia yang menerima Melayu sebagai asasnya. Pelbagai usaha kerajaan memberikan kelebihan-kelebihan kepada bangsa-bangsa tersebut, namun masih tidak dapat memuaskan hati mereka. Mungkin ini retorik hujung nyawa UMNO, yang sibuk menghangatkan isu bangsa sekarang ini.

Pada saya, alangkah benarnya al-Quran. Hanya Islam jalan hidup yang diredhai Allah. Pemerintahan berdasarkan bangsa lambat laun akan menjumpai jalan kegagalan. Buatlah macamana cara pun, selagi tidak mengamalkan Islam secara menyeluruh (bukan separuh - separuh), tentu akan menghadapi masalah.

Perundangan dan pemerintahan Islam secara menyeluruh pernah diamalkan di bumi Malaysia ini. Zaman Kesultanan Melaka merupakan zaman kegemilangan Melayu di nusantara, diiktiraf kewujudannya di seluruh dunia sebagaimana ia terkenal sebagai pusat perniagaan yang kaya dalam teks-teks sejarah Eropah dan Timur Tengah. Apakah sistem pemerintahan yang digunakan oleh Sultan Melaka.. Kanun undang-undang Islam, yang diterima pakai daripada Kerajaan Islam Uthmaniyyah. Ia berterusan digunakan oleh Sultan-Sultan negeri-negeri selepas kejatuhan Melaka. Malah direkodkan dalam catatan sejarah bahawa As-Syahid Tok Janggut berjuang melawan Inggeris membawa bendera Khalifah Uthmaniyyah Turki.

Namun, apabila Tanah Melayu mahu dimerdekakan. Umno, peneraju terakhir kemerdekaan, berunding dengan Inggeris dan menerima undang-undang berasaskan Perlembagaan Reid. Perundangan ciptaan manusia ini, dicampur aduk dengan undang-undang syariah negeri-negeri Tanah Melayu, lalu jadilah undang-undang Islam separuh separuh.. Hukum zina sekadar denda, bukan sebat dan rejam, dsb.

Hebatnya Melayu kerana Islam. Sebelum daripada Parameswara menganut Islam, orang Melayu kebanyakkannya menganut agama Hindu dan anisme. Kerajaan terkuat Melayu ketika itu, kerajaan Majapahit, beragama Hindu bertahan lebih seribu tahun. Sebelum Melayu Malaysia beragama Islam, kebanyakan mereka beragama Hindu.

Selepas Sultan Melaka menjadi Islam, ramai manusia di Tanah Melayu menganut Islam. Pelbagai bangsa duduk disini. Syiar Kerajaan Islam Melaka berkembang sehingga bahasa Melayu menjadi lingua fanca di nusantara ini. Sehingga Maharaja Cina bersedia mengahwinkan anaknya dengan Sultan Melaka. Maka wujud keturunan Baba Nyonnya, yang merupakan keturunan inang-inang dan pengawal puteri Raja Cina. Mereka tidak beragama Islam, namun oleh kerana Islam bukan bersifat memaksa, maka mereka kekal hidup dengan agama dan budaya mereka hingga hari ini. Ini salah satu bukti bahawa undang-undang Islam tidak sesekali akan melakukan penghapusan etnik, mahupun agama dan budaya sesuatu bangsa yang tidak Islam.

Kerajaan Islam menjadi kuat apabila golongan Islam pelbagai bangsa dapat bersatu dibawah satu pemerintahan. Sebagaimana kerajaan Islam Madinah di zaman Rasulullah saw, dikuatkan dengan hijrah para sahabat pelbagai bangsa, baik Arab Badwi/Quraish, mahupun Parsi dan Afrika. Bila sahaja Madinah tertegak, seluruh umat Islam datang untuk menjadi rakyat Madinah dan memperkuatkannya. Sehingga dalam 8-9 tahun tentera Islam dari jumlah 1000 orang menjadi 10000 ketika Fathul Mekah. Begitu jugalah yang berlaku kepada kerajaan Islam Melaka. Di Madinah terdapat juga bangsa Yahudi dengan jumlah yang besar. Namun mereka tidak diganggu untuk mengamalkan agama dan undang-undang mereka sendiri, sehinggalah mereka mengkhianati perjanjian negara Madinah.

Sepatutnya hak keistimewaan diberikan kepada orang beragama Islam. Ia diberi kepada hak beragama, kerana agama masih boleh ditukar.. Bangsa tidak mungkin ditukar.. Micheal Jackson tak mungkin jadi 'orang putih' selamanya. Namun begitu agak pelik di Malaysia, bagaimana Mahathir - bangsa India Islam boleh menjadi Melayu atau Maya Karin - keturunan Jerman Islam menjadi Melayu.

Allah telah berfirman dalam al-Quran, bahawa dijadikan manusia berbangsa-bangsa supaya kita saling kenal mengenal antara manusia. Dengan kata lain, ia bermaksud akan wujud perbezaan bangsa.. Dan setiap bangsa akan tetap ingin mengekalkan identiti bangsa masing-masing, sama ada dari segi bahasa dan cara hidup. Dengan kata lain, orang Cina tidak akan menjadi Melayu. Tetapi, orang Cina boleh menjadi Islam. Sekiranya mereka tergiur dengan hak keistimewaan seorang Islam, mereka boleh menukar agama. Inilah sifat agama Islam yang adil dan tidak memaksa. Cina Islam tetap mendapat hak keistimewaan sebagaimana India Islam dan Melayu yg sepatutnya Islam. Masih boleh berbahasa mahupun cara hidup bangsa Cina/India. Hanya budaya yang bertentangan dengan Islam sahaja yang tidak dibenarkan. Tidak perlu namakan mereka sebagai Melayu.

Yang kita tak paham tentang Che Det ni.. sibuk cerita orang Cina tak mau guna bahasa melayu.. tapi dia juga yang suruh Matematik dan Sains belajar dlm bahasa Inggeris. Terkial anak Melayu, termasuk anakku darjah 2 nak paham apa itu ascending, descending - soalan semua dlm bahasa Inggeris pula. Walhal dalam kelas English darjah 2 baru nak belajar apa itu past, present tense.. Apalah nasib anak penarik beca, penoreh geah, peneroka felda... Masih ingat angkara siapa yang menarik bantuan per kapita Sekolah Agama Rakyat. Sudahlah SAR sedia ada miskin, tarik lagi bantuan tentulah berniat nak kasi tutup terus.. Siapa yang tarik kuota Melayu di universiti, dan perkenal Meritokrasi. Tu semua kasi advantage pada siapa..? 51 tahun Malaysia dibawah pemerintahan parti Melayu, orang Melayu semakin kebelakang.. ada sesuatu tak kena.

Sekadar berkongsi maklumat untuk melihat Islam dalam kacamatanya, bukan dari kacamata sekularis mahupun nasionalis. Tidak perlu takut kepada perundangan Islam kalau kita umat Islam mahupun orang bukan Islam. Orang bukan Islam tetap boleh hidup dengan agama dan undang-undang yang mereka pilih sendiri. Kebaikan mereka didunia tetap terjamin, walau diakhirat kita semua tahu dimana tempat mereka.

Yang perlu takut adalah orang Islam yang kekal membuat dosa-dosa besar, dan juga penjenayah. Semua kita tahu Islam itu benar, tetapi kenapa kita menolaknya. Kalau cara perlaksanaannya yang lemah, maka marilah membantu menguatkannya.

Ibarat seketul daging yang halal dan baik, kalau resepi dan tukang masak yang buat masakan tidak sedap, maka betulkan resepi/tukang masaknya. Jangan kita ambik daging bangkai, walau kita panggil chef terkenal memasaknya, walau sedap macamanapun, lambat laun akan bagi kemudharatan pada tubuh badan kita.

Kita semua akan mati menghadap Allah swt. Segala amalan akan dihisab. Apalah nasib kita kalau didunia kita menolak Islam, apa lagi kalau menjadi agen-agen menentangnya. Semoga kita semua terselamat daripada azab siksa Allah yang sangat dahsyat, tak mungkin kita tertanggung walau satu saat..! Tepuk dada, tanyalah nun jauh disudut hati....

Wednesday, August 20, 2008

Nurin Jazlin Dalam Kenangan


Semalam genap setahun tarikh Allahyarham Adik Nurin Jazlin hilang sebelum berakhir dengan tragedi yang menggemparkan Malaysia. Pada 17 September 2007, jasad yang menyayat hati ditemui dalam keadaan tidak dikenali oleh ibubapa sendiri, akhirnya disahkan sebagai Nurin Jazlin. Dalam keadaan pilu keluarga Allahyarham Nurin mengenang kehilangannya yang tragis, timbul pula gambar autopsi Nurin ke khalayak ramai. Sesuatu bahan penyiasatan yang sangat peribadi, sepatutnya dikawal rapi oleh pihak berkuasa, telah bertebaran ke dunia internet.

Setelah genap setahun, penculik dan pembunuh Nurin masih lagi belum lagi diberkas oleh pihak polis. Begitu juga nasib adik Sharlinie, masih tidak ketahuan keadaannya. Dan, entah berapa ramai lagi mangsa yang tidak kita ketahui..

Baru-baru ini berlaku lagi percubaan untuk menculik seorang gadis berusia 13 tahun ketika menunggu bas di Sungai Kapar Indah, Klang. Beliau yang ditangkap oleh sekumpulan 5 lelaki ke dalam van, akhir terselamat apabila dengan nekad melompat keluar daripada van yang bergerak. Apa yang lebih memeranjatkan, menurut gadis tersebut, terdapat beberapa gambar kanak-kanak lain termasuk gambar adik Sharlinie di dalam van tersebut. Seperti biasa, pihak polis akan bertindak 'tangkas' dalam hal ini.

http://www.lovenotepress.com/2008/07/30/penculik-sharlinie-berkeliaran/

Hari ini, ibubapa Allahyarham Nurin Jazlin, akan memfailkan saman kepada pihak Polis atas beberapa sebab, antara yang utamanya terhadap gambar autopsi Nurin yang dibocorkan. Saya menyokong tindakan ini, supaya pihak yang berwajib ini (terutama Polis DiRaja Malaysia) menjalankan tanggungjawab mereka dengan sepatutnya.

http://www.nurinjazlin.blogspot.com/

Kepada semuanya, marilah kita sedekahkan 'al-Fatihah' kepada Allahyarham adik Nurin.

Monday, August 18, 2008

Islam untuk semua...

Termenung sejenak saya mendengar ucapan Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Encik Hu Pang Chaw, di Muktamar PAS kali ke-54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak yang lalu. Segala puji bagi Allah, Dialah Tuhan yang menyentuh hati-hati dan membuka mata manusia terhadap pintu kebenaran.

Sesungguhnya, kebenaran Islam umpama air sungai yang mengalir. Walau tangan-tangan kotor itu cuba menyekat, lambat laun ia pasti mengalir menerusi jalan yang lain, seperti yang telah ditentukan oleh Tuhannya. Hakikat bahawa kelab Penyokong PAS sudah mencecah 10,000 keahlian, begitu mengubat jiwa yang hampir berputus asa ini. Terasa hilang penat lelah. Sinar harapan bahawa Islam akan ternobat di mukabumi Malaysia kembali cerah.

Sungguh besar pahala orang-orang yang ikhlas, yang telah bertungkus lumus memperkenalkan Islam yang sebenar kepada golongan bukan Islam. Sungguh mulia usaha Tok Guru Nik Abdul Aziz, meneraju lanskap pemerintahan Islam Kelantan yang adil untuk semua bangsa. Idea kelab Penyokong PAS mulanya dianggap ramai hanya sebagai retorik politik, akhirnya diangkat Allah martabatnya dan mendapat tempat didada golongan bukan Islam.

Jelas sekali, Islam apabila dilaksanakan dengan sepenuhnya, bakal menjanjikan keadilan dan keamanan. Siapalah UMNO hendak menafikan hakikat yang telah termaktub dalam al-Quran ini. Kini, Allah menyingkap sedikit hijab kebenaran - Kelab Penyokong PAS sebagai bukti hidup yang sedang berlaku di Malaysia. Kalau En Hu Pang Chaw boleh memahami dan menerima pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia, masakan Islam Hadhari boleh menolaknya? Apalagi kalau dengan angkuh menghantar surat untuk menghalang Menteri Besar Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Dalam pada golongan bukan Islam ini boleh saja menganggotai parti-parti lain, seperti Keadilan atau DAP, atau juga lain-lain parti dalam Barisan Nasional. Kenapa memilih kelab Penyokong PAS? Bukan boleh menjanjikan harta atau pangkat, malah hanya berstatus kelab.. Ternyata mereka yakin kepada Islam. Walau belum menganutinya, tetapi mereka yakin sekiranya Islam diamalkan dengan sepenuhnya, keadilan dan keamanan semua kaum dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Para daie dan pejuang, marilah tingkatkan usaha untuk menerangkan Islam kepada semua. Jangan lagi berasa lemah, kerana Allah sentiasa bersamamu. Sebagaimana Rasulullah saw berdakwah menyuluhi segenap jiwa dan bangsa, bangkitlah kita membawa risalah kebenaran ini. Sesungguhnya, masyarakat bukan Islam di Malaysia, sedang membuka hati-hati mereka untuk kita sentuh..!!!

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16497&Itemid=50

Thursday, August 7, 2008

Melaka dan Nombor...

Kalau anda melawati Melaka, terutama sekitar jam 5 petang, cuba lalui kedai-kedai judi di sekitar Melaka. Pasti anda akan dapat melihat keramaian yang cemar.. terutama apabila melihat orang-orang Melayu yang sibuk memesan nombor-nombor judi idaman mereka.

Cuba lihat di deretan kedai judi di Pokok Mangga. Seakan pesta orang pelbagai bangsa berkerumun, malangnya orang Melayu, baik dah berusia mahupun muda, sama ramai dengan bangsa yang lain. Ajaran Islam manakah yang mereka anuti yang membenarkan judi sebagai salah satu kegemaran hidup.. atau mereka telah meninggalkan ajaran Islam?

Atau mungkin mereka teruja dengan kenyataan sesetengah pihak, yang mengatakan apabila kedai judi mendapat kelulusan lesen daripada Majlis Bandaran, maka statusnya halal..?? Atau mereka ingin mengikut jejak Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka yang juga juara membida nombor.. suaratanggabatu.blogspot.com/2008/08/gabenor-melaka-juara-bida-nombor-plat.html

Tapi, rakyat tak mampu nak beli nombor yang beribu-ribu ringgit, mungkin itulah sebabnya mereka membeli nombor murah di kedai-kedai judi.

Soalnya, dimana JAIM mahupun MAIM..? Di mana penguatkuasa JAIM, adakah mata anda telah dibutakan? Sedarlah wahai penguatkuasa JAIM, di tangan kamu terletak tanggungjawab 'nahi mungkar'. Kamu telah diberi hak untuk menghentikan dosa-dosa umat Islam Melaka di kedai-kedai judi.. tetapi kamu sengaja membiarkan. Tunggulah, Allah pasti bertanya dan menghitung setiap tanggungjawab yang diberikan.

Kenapa tidak diambil tindakan kepada pengusaha-pengusaha kedai judi yang membenarkan orang Islam memasuki premis mereka? Sebaliknya, JAIM bersikap tegas dan angkuh terhadap Tadika PASTI, pusat yang mendidik anak-anak mengenal Islam, hingga membawa mereka ke mahkamah. Dengan alasan yang dangkal, sampai sekarang kes PASTI asyik ditangguhkan mahkamah. Ada PASTI yang hampir ditutup kerananya... Kenapa tidak lakukan yang sama kepada pusat-pusat judi?

Ingatlah, setiap yang hidup pasti akan mati. Allah pasti mengadili perbuatan setiap manusia. Perbuatan yang mulia, akan dibalas baik, tetapi perbuatan yang hina akan dibalas dengan siksa yang tak terperi sakitnya. Bertaubatlah segera, minta ampunlah kepada Allah dan manusia sekiranya kamu ada berlaku zalim... atau jika masih angkuh, tunggulah kamu. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik memberi pembalasan.

Tuesday, August 5, 2008

Menarilah wahai polis di Melaka

Gambar ini cukup mengecewakan saya.. Kenapalah polis wanita yang lengkap seragam menutup aurat boleh diarah menari-nari dihadapan pelancong-pelancong sebegitu rupa. Lagi pula gambar ini saya ambil daripada blog Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Inikah ajaran Negara Islam Hadhari? Di mana maruah polis-polis wanita Islam yang mengoyang-goyang tubuhnya khas untuk tanyangan khalayak ramai itu? Tersengih besar sang pelancong melihat wanita-wanita Islam yang bertudung litup ini, dengan penuh disiplin melenggok-lenggok badan mereka menari ala Hindustan. Hanya terdapat di Malaysia.. Malaysia Boleh..!!! Malangnya jadi Polis di Malaysia, anda boleh disuruh buat apa sahaja.. walaupun hingga ke tahap merendahkan martabat diri dan keperibadian Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka cukup berbangga dengan acara tersebut. Dalam blognya, penuh pujian kepada polis-polis tersebut. Sekali lagi malang kepada rakyat Melaka, mempunyai Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka yang berpemikiran sedemikian. Katanya, acara joget tersebut akan menyebabkan pelancong merasa lebih selamat....... http://www.mohdalirustam.com/

Apakah Melaka semakin selamat untuk dilawati? Sedarkah kita bahawa indeks kadar jenayah di Melaka adalah melebihi dari indeks kadar jenayah negara? Sudah lah begitu, polis pula disibukkan dengan aktiviti joget lambak. Cuba lihat link ini sebagai satu muhasabah... http://dapmalaysia.org/english/2007/july07/bul/bul3347.htm

Wahai penjenayah diluar sana, takutlah kamu kepada polis-polis wanita yang menari ala dangdut ini..........

Saturday, August 2, 2008

Salam Pengenalan dari Hamba Yang Hina

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw, manusia agung penunjuk jalan kehidupan yang benar dan hakiki. Salam perjuangan kepada sahabat yang berdiri kukuh dalam jalan menegakkan Islam di bumi ini.

Hari ini saya belajar membina lama blog daripada Seminar Bloggers PAS Melaka, dengan penuh semangat untuk menjadikan blog sebagai bahan berkongsi maklumat dan memperkasa agenda 'berpesan-pesan di atas kebenaran dan kesabaran'.

Semoga laman blog ini diberkati Allah, dan diterima sebagai sebahagian daripada mata rantai jihad untuk menobatkan Islam dimukabumi ini. Ya Allah, terimalah ia sebagai amalan yang soleh dan berilah kekuatan kepada hambaMu yang serba kekurangan ini, jadikan mata blog ini setajam mata pedang yang merintis dijalanMu, bukalah minda pembacanya supaya terkesan mereka untuk menuju jalan yang lurus kepadaMu.