Friday, October 24, 2008

Nilai Seorang Datuk di Melaka

Baru-baru ini kecoh Melaka ingin mengurniakan Datuk kepada pelakon Hindustan terkenal, Shah Rukh Khan.. Ketua Menteri Melaka, dalam menyokong penganugerahan tersebut, menyatakan bahawa Shah Rukh Khan banyak mempromosikan Melaka melalui aksi-aksi lakonannya yang dirakamkan di Melaka dan Malaysia. Inilah justifikasi paling bebal yang diberikan oleh seorang ahli politik, yang sedang berangan-angan menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Anugerah Datuk sudah tidak mengira soal akhlak dan moral, siapa saja layak menjadi Datuk kalau boleh mendatangkan 'fulus'. Seolahnya tiada lagi manusia yang lebih layak dan lebih berjasa di bumi Melaka ini untuk diberikan Datuk. Patutnya, Melaka ditukarkan namanya daripada Melaka Bandar Bersejarah kepada Melaka Bandar Berhibur. Lihat betapa subur sumber-sumber hiburan di Melaka. Marilah bermalam di Melaka Raya - syurga kepada bangsa yang ingin berlibur hingga ke pagi. Asal 'cukai' dibayar mengikut harga dan masa, bebaslah ia tanpa gangguan pihak berkuasa - baik pihak Majlis Tempatan mahupun Majlis Agama Islam. Dulu pernah juga dicadangkan negeri Melaka yang sekangkang kera ini, mewujudkan kawasan ala 'Hollywood', khas untuk artis-artis berkediaman.

Bumi Melaka ini bukan tempat bagimu wahai Allahyarham Sarjan (B) Yusof Rono. Mandian darahmu sebagai Pahlawan Bukit Kepong tidak diiktiraf di negeri Melaka ini. Sejarah orang asing di Melaka lebih penting dipromosi untuk menarik pelancong, bukan sejarahmu melawan komunis itu. Cukuplah status datuk untukmu bagi cucu-cucu keturunanmu, kerana Melaka tidak melihat perjuanganmu penting selayak mana Shah Rukh Khan dalam memperjuang joget dan gelek dipentas hiburan.