Monday, August 18, 2008

Islam untuk semua...

Termenung sejenak saya mendengar ucapan Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Encik Hu Pang Chaw, di Muktamar PAS kali ke-54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak yang lalu. Segala puji bagi Allah, Dialah Tuhan yang menyentuh hati-hati dan membuka mata manusia terhadap pintu kebenaran.

Sesungguhnya, kebenaran Islam umpama air sungai yang mengalir. Walau tangan-tangan kotor itu cuba menyekat, lambat laun ia pasti mengalir menerusi jalan yang lain, seperti yang telah ditentukan oleh Tuhannya. Hakikat bahawa kelab Penyokong PAS sudah mencecah 10,000 keahlian, begitu mengubat jiwa yang hampir berputus asa ini. Terasa hilang penat lelah. Sinar harapan bahawa Islam akan ternobat di mukabumi Malaysia kembali cerah.

Sungguh besar pahala orang-orang yang ikhlas, yang telah bertungkus lumus memperkenalkan Islam yang sebenar kepada golongan bukan Islam. Sungguh mulia usaha Tok Guru Nik Abdul Aziz, meneraju lanskap pemerintahan Islam Kelantan yang adil untuk semua bangsa. Idea kelab Penyokong PAS mulanya dianggap ramai hanya sebagai retorik politik, akhirnya diangkat Allah martabatnya dan mendapat tempat didada golongan bukan Islam.

Jelas sekali, Islam apabila dilaksanakan dengan sepenuhnya, bakal menjanjikan keadilan dan keamanan. Siapalah UMNO hendak menafikan hakikat yang telah termaktub dalam al-Quran ini. Kini, Allah menyingkap sedikit hijab kebenaran - Kelab Penyokong PAS sebagai bukti hidup yang sedang berlaku di Malaysia. Kalau En Hu Pang Chaw boleh memahami dan menerima pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia, masakan Islam Hadhari boleh menolaknya? Apalagi kalau dengan angkuh menghantar surat untuk menghalang Menteri Besar Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Dalam pada golongan bukan Islam ini boleh saja menganggotai parti-parti lain, seperti Keadilan atau DAP, atau juga lain-lain parti dalam Barisan Nasional. Kenapa memilih kelab Penyokong PAS? Bukan boleh menjanjikan harta atau pangkat, malah hanya berstatus kelab.. Ternyata mereka yakin kepada Islam. Walau belum menganutinya, tetapi mereka yakin sekiranya Islam diamalkan dengan sepenuhnya, keadilan dan keamanan semua kaum dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Para daie dan pejuang, marilah tingkatkan usaha untuk menerangkan Islam kepada semua. Jangan lagi berasa lemah, kerana Allah sentiasa bersamamu. Sebagaimana Rasulullah saw berdakwah menyuluhi segenap jiwa dan bangsa, bangkitlah kita membawa risalah kebenaran ini. Sesungguhnya, masyarakat bukan Islam di Malaysia, sedang membuka hati-hati mereka untuk kita sentuh..!!!

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16497&Itemid=50

No comments: